Zuraida berharap Bella dapat pembelaan sewajarnya
KUALA LUMPUR 13 Julai – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berharap remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang dipercayai didera, mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Beliau turut berharap agar pelaku yang melakukan penderaan terhadap remaja berusia 13 tahun itu mendapat hukuman setimpal.
“Tular di laman sosial, sebuah rakaman video memaparkan kesan luka dan kecederaan yang telah dialami oleh Bella.
“Kesan penderitaan Bella akibat didera dalam paparan video tersebut sangat menyayat hati dan meruntun jiwa. Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga amat terkesan melihat paparan video dan foto-foto menunjukkan nasib malang remaja kurang upaya ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi kenyataan itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin dan peka terhadap keadaan sekeliling.
“Sehingga kini saya difahamkan warganet menggunakan #JusticeforBella bagi terus memberi kesedaran kepada semua pihak. Semoga usaha ini beroleh kejayaan.
“Saya mendoakan adik Bella lekas sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan kembali ceria,” katanya.
Kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang wanita dikenali sebagai Mona Din mendedahkan mengenai penderitaan remaja berkenaan yang mengalami kesan lecur dan luka di anggota badan dipercayai akibat didera.
Susulan pendedahan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyita Rumah Bonda di Wangsa Maju di sini, semalam, yang dikaitkan dengan kes penderaan remaja istimewa terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.