Zoo Negara terima jumlah pengunjung memberangsangkan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Setelah melalui saat getir ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zoo Negara kini kembali ‘bernafas’ setelah menerima jumlah kedatangan pengunjung yang memberangsangkan.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata Zoo Negara kini menjana pendapatan kira-kira RM600,000 hingga RM800,000 sebulan, dengan jumlah kedatangan pengunjung seramai 100,000 bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Beliau berkata terdapat situasi kedatangan pengunjung yang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan di pintu masuk zoo yang terletak berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) di sini.

Menurutnya ini menyebabkan pihak polis terpaksa membantu mengawal kesesakan yang berlaku, lebih-lebih lagi ketika hujung minggu.

“Kami benar-benar menarik nafas lega atas perkembangan positif ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis ulang tahun Malaysian Zoological Parks and Aquaria (MAZPA) ke-25 di sini hari ini.

Rosly berkata kehadiran anak ketiga kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China yang diberikan nama Sheng Yi juga bagaikan menambah seri zoo berkenaan apabila ia menjadi antara tarikan utama pengunjung.

Zoo Negara sebelum ini berdepan krisis kewangan yang teruk ekoran ketiadaan pengunjung susulan pelaksanaan PKP akibat pandemik COVID-19 sehingga memaksa pihak zoo memohon bantuan dana bagi menampung kehidupan haiwan yang berada di situ.

Situasi itu turut menarik perhatian pendakwah dan aktivis sosial Ebit Lew yang menghulurkan sumbangan makanan 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayur-sayuran kepada haiwan di Zoo Negara.

Bukan itu sahaja, sumbangan daripada pebagai lapisan rakyat termasuk melalui kempen Adopt an Animal telah membantu menampung perbelanjaan dan pengurusan kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan yang menghuni kawasan seluas 110 hektar itu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post Rumah ternakan tertutup mampu tingkatkan bekalan ayam – Ahli akademik
Next post Peneroka rugi RM39,000 diperdaya Macau Scam
Ubah saiz-+=