Zoo Melaka ‘sepi’
AYER KEROH 11 Nov. – Zoo Melaka merekodkan lebih 95 peratus penurunan kedatangan pelancong rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, ia jelas menunjukkan kebimbangan masyarakat akibat penularan virus COVID-19 yang melanda negara.
“Sekarang hanya dua individu dibenarkan dalam satu kenderaan, ini kekangan yang kita hadapi dan ternyata kehadiran pelancong ke Zoo Melaka berkurangan (akibat SOP COVID-19).
“Yang merisaukan saya bukan sahaja di Zoo Melaka, tetapi produk pelancongan di sekitar kawasan Ayer Keroh yang turut terkesan,” katanya kepada MHI.
Katanya, walaupun pengoperasian Zoo Melaka berjalan seperti biasa, namun segala prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
“Jumlah kemasukan dalam satu-satu masa tidak boleh beramai-ramai, pengunjung mesti patuhi SOP memakai pelitup muka termasuk cecair pembasmi kuman yang kita sediakan.
“Zoo Melaka juga membuat sanitasi tiga kali sehari bagi memastikan pengunjung yang datang dalam keadaan selamat sejak mula beroperasi pada April lalu,” katanya lagi.
Pada 28 Oktober lalu, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan Zoo Melaka menerima kurang dari 1,000 pelancong pada hujung minggu., hingga beberapa operasi termasuk Night Safari terpaksa dihentikan sementara kerana ketiadaan pengunjung.