
ZOO MELAKA SAMBUT KELAHIRAN HARIMAU KUMBANG JANTAN
AYER KEROH 17 April – Zoo Melaka menerima kehadiran ‘ahli baharu’ selepas seekor harimau kumbang jantan selamat dilahirkan, baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, bayi harimau kumbang itu kini berusia 50 hari dan pihak Zoo Melaka akan mengadakan majlis istimewa bagi meraikan kelahiran haiwan berkenaan.
Menurut beliau, antara sambutan yang akan disediakan adalah mengadakan pertandingan bagi menamakan harimau kumbang jantan itu yang dibuka kepada orang ramai.
“Dengan kelahiran baharu ini, Zoo Melaka kini mempunyai sembanyak enam ekor harimau kumbang, di mana ‘ahli baharu’ ini akan diperkenalkan apabila keadaannya lebih stabil.
“Apabila diperkenalkan kelak, kita akan membuat pertandingan untuk menamakan haiwan baharu itu dengan menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPHTJ dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Menurut Sapiah, selain kelahiran baharu, Zoo Melaka turut membawa masuk beberapa haiwan baharu di Zoo Melaka bagi menambah lagi tarikan pameran haiwan kepada pengunjung.
Jelas beliau, antara haiwan baharu yang dibawa masuk adalah unta dan Harimau Malaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.