Zoo Melaka perlu penstrukturan semula jika masih tidak dapat beroperasi
MELAKA 10 Ogos – Zoo Melaka perlu menjalani penstrukturan semula sekiranya destinasi pelancongan dan pusat konservasi haiwan itu tidak dapat beroperasi sehingga akhir tahun ini ekoran penularan COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, penstrukturan semula membabitkan beberapa kaedah atau usaha yang akan dilaksanakan termasuk penswastaan sepenuhnya zoo itu atau memulangkan haiwan dalam penjagaan pusat tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Beliau berkata, bagaimanapun kajian bagi keperluan pelaksanaan langkah itu akan dilakukan pada November depan demi memastikan kebajikan kira-kira 525 haiwan daripada 250 spesies di zoo berkenaan terjamin.
“Ia merupakan fasa yang amat mencabar bagi MPHTJ dan juga pengurusan Zoo Melaka kerana dalam tempoh dua tahun penularan COVID-19, zoo tersebut hanya dapat beroperasi selama enam bulan sahaja pada tahun lalu.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas, kos pengoperasian Zoo Melaka dapat ditampung menerusi jualan tiket tetapi apabila tidak boleh beroperasi, tiada pendapatan dapat dijana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, situasi itu secara tidak langsung turut memberi impak kepada MPHTJ dari aspek penyediaan peruntukan bulanan untuk zoo berkenaan kerana pihak berkuasa tempatan itu turut terjejas dengan penularan COVID-19.
Katanya, sebelum penularan COVID-19, Zoo Melaka memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1 juta sebulan bagi menampung kos keseluruhan operasi termasuk kebajikan dan kesihatan haiwan, gaji pekerja serta utiliti pusat berkenaan namun jumlah itu berjaya dikurangkan kepada RM650,000 sebulan dalam tempoh PKP.
Sementara itu, Shadan berkata pihaknya berharap Melaka dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tahun ini juga bagi membolehkan industri pelancongan dalam negeri dapat kembali beroperasi.
“Sebelum ini, banyak yang telah kita rancangkan untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Zoo Melaka tetapi disebabkan COVID-19, zoo tidak boleh beroperasi dan segalanya perancangan itu terpaksa ditangguh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.