ZOO MELAKA MAHU PERKENAL PELBAGAI PROGRAM DAN PAKEJ MENARIK PADA 2025
AYER KEROH 9 Oktober – Pakej Sambutan Hari Lahir dan Program Cinta Hidupan Liar bakal diperkenalkan Zoo Melaka kepada pengunjung bermula Januari tahun hadapan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, pakej dan program berkenaan sedang diteliti sebelum mula ditawarkan kepada orang ramai.
Mengulas lanjut Sapiah berkata, pengisian pakej dan program akan dimaklumkan kepada umum selepas selesai penelitian serta kajian.
“Bagi sambutan hari lahir mungkin ia berdasarkan kepada tarikh lahir pengunjung dan Zoo Melaka mungkin akan tawarkan diskaun yang menarik. Sementara itu Program Cinta Hidupan Liar pula adalah program mewarna kanak-kanak akan diperkenalkan tahun 2025 mengikut tarikh sambutan hidupan liar.
“Penganjuran adalah mengikut tarikh sambutan haiwan seperti gajah, harimau dan ular. Contoh, pada Hari Tapir Sedunia, Peraduan mewarna akan bertemakan tapir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sapiah, turut memaklumkan Zoo Melaka turut akan menambah hidupan liar yang aktif pada waktu malam agar lebih banyak tarikan baharu dapat disediakan pada tahun hadapan.
“Kita harap akan membawa masuk lebih banyak haiwan nokturnal agar lebih banyak tarikan dapat disediakan untuk Zoo Malam pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.