ZOO MELAKA LAKUKAN PERSIAPAN SAMBUT WTD2025, VM2026
AYER KEROH 11 Disember – Kerja-kerja penambahbaikan dan menceriakan Zoo Melaka akan dilaksanakan sebagai persediaan bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, perancangan itu juga perlu dilaksanakan, berikutan persekitaran Zoo Melaka ketika ini dianggap sebagai sudah ‘tua’.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata persiapan awal adalah perlu kerana kerja-kerja naik taraf dan keceriaan akan mengambil masa untuk disiapkan.
“Perancangan ini juga termasuk menceriakan bahagian luar atau pintu masuk ke Zoo Melaka, agar mampu menarik kunjungan lebih ramai pelawat dan pelancong. Semua perancangan perlu dilakukan bermula dari tahun ini.
“Ketika ini kami juga sedang dalam proses mengenal pasti kandang yang sudah uzur untuk diberi wajah baharu, namun Zoo Melaka akan menunggu arahan pelaksanaan daripada Kerajaan Negeri pada tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Sapiah berkata pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengenal pasti haiwan yang sesuai untuk di bawa masuk ke Zoo Melaka.
“Menerusi kerjasama ini mungkin akan ada lagi pertambahan haiwan lain. Terbaharu kami membawamasuk sepasang unta dari Australia yang kini masih dalam tempoh kuarantin. Selain itu kita akan kenal pasti haiwan yang boleh dibawa masuk ke zoo dan ‘night safari’,” katanya.
Sementara itu, Sapiah berkata, Zoo Melaka merekodkan seramai 296,586 pengunjung dari Januari hingga November tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.