Zoo Melaka kekal destinasi pilihan keluarga
AYER KEROH 31 Jan – Zoo Melaka terletak berhampiran pintu masuk utama negeri ini dilihat semakin menerima sambutan pengunjung susulan cuti persekolahan sejak Jumaat lalu.
Saban hari, peningkatan ribuan pelancong direkodkan dan Zoo Melaka menjadi sebagai lokasi persinggahan keluarga.
Beberapa tarikan baru seperti aktiviti ‘flying fox’ buat kanak-kanak dan ruang khas untuk memberi makanan kepada haiwan terpilih ditawarkan pihak pengurusan zoo buat pengunjung.
Ketika tinjauan dilakukan beberapa gerai menjual cenderamata yang sebelum ini lengang dipenuhi pengunjung, sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha.
Pengunjung tempatan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial di kawasan awam.
Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis berkata jumlah pengunjung dijangka terus meningkat kepada purata 4,000 orang sehari sepanjang minggu ini.
Katanya, berbanding hari biasa Zoo Melaka menerima 600 pengunjung setiap hari dan jumlah itu meningkat mendadak sejak Jumaat lalu.
“Jumaat sehingga semalam kita merekodkan sekitar 2,000 orang sehari dan meningkat kepada 3,000 pengunjung hari ini.
“Kita menjangkakan apabila bermulanya perayaan Tahun Baharu Cina esok jumlah pengunjung akan meningkat kepada 4,000 sepanjang minggu ini dengan purata jumlah jualan sebanyak RM25,000 mampu dikutip,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zanariah berkata, pengunjung bagi aktiviti ‘Night Safari’ yang dibuka pada hujung minggu di Zoo Melaka turut meningkat kepada 60 peratus.
“Penambahbaikan kita lakukan seperti laluan ‘glow in the dark’ dan hiasan lampu membantu meningkatkan jumlah pengunjung daripada 600 kepada 800 orang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.