Sorting by

×

Zoo Melaka jalin kerjasama dapatkan kepakaran, pembiakan Harimau Malaya

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Zoo Melaka menjalinkan kerjasama erat bersama beberapa agensi berkaitan dalam mendapatkan kepakaran khususnya membabitkan pembiakan harimau.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, jalinan kerjasama itu adalah bagi memastikan harapan Zoo Melaka untuk melihat kelahiran anak harimau dapat direalisasikan.

Beliau berkata, selain Jabatan  Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pihaknya juga akan bekerja rapat

bersama-sama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dalam misi pembiakan Harimau Malaya ini supaya haiwan sedia ada itu di Zoo Melaka dapat diberi pelindungan terbaik.

“Jabatan Perhilitan dilihat  banyak membantu terutamanya dari segi pandangan idea dan bantuan dana dalam menaik taraf Zoo Melaka agar menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik di negara ini.

“Malah Zoo Melaka juga menerima peruntukan projek naik taraf membabitkan premis harimau belang bagi projek Pembiakan Harimau Malaya dalam kurungan berjumlah RM800,000  pada tahun ini dan ianya sudah pun siap pada Jun yang lepas.

“Justeru itu, besar harapan kami ingin melihat suatu hari nanti kelahiran anak harimau dilahirkan di Zoo Melaka sekali gus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program pembiakan harimau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, di Zoo Melaka, semalam.

Hadir sama Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai.

IMG_9718
Aksi harimau yang mencuri tumpuan pengunjung sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 di Zoo Melaka, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Sapiah, hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Zoo Melaka dan Perhilitan pada tahun lalu juga membawa kepada beberapa kerjasama lain antaranya pembangunan dan penganjuran program konservasi hidupan liar serta penyelidikan.

“Ia termasuk juga program pembiakan khas untuk spesies tempatan seperti Harimau Malaya

selain penambahan spesies hidupan liar baharu untuk tarikan dan program pendidikan kepada pengunjung.

“Selain itu juga, kami Zoo Melaka sememangnya menyokong penuh Kempen selamatkan Harimau Malaya yang dilaksanakan bagi membuktikan usaha dan inisiatif kerajaan dalam usaha

pemuliharaan Harimau Malaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1710
Kongsi :
Previous post Kibar Jalur Gemilang semai patriotisme, RM3,000 menanti pemenang
Next post Kesedaran Orang Asli miliki MyKad meningkat melalui MEKAR
Ubah saiz-+=