Sorting by

×

Zoo Melaka catat sejarah Asia, ungka beranak kembar

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Segalanya bermula di Melaka. Ungkapan ini sesuai menggambarkan ‘kegembiraan’ warga Zoo Melaka menyambut kelahiran anak kembar Ungka Tangan Putih dua minggu lalu.

Difahamkan, kelahiran kembar itu mencatat rekod tersendiri iaitu pertama kali berlaku di Asia.

Pastinya, kelahiran anak ungka terbabit bakal mencuri tumpuan pelawat apabila Zoo Melaka dibuka semula pada 1 Oktober ini.

SHADAN.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, ia merupakan kejadian yang tidak pernah berlaku di Asia termasuk di dunia.

Menurutnya, ungka kembar pernah direkod berlaku di Zurich, Switzerland dan Berlin, Jerman, namun ia membabitkan dari jenis spesis Siamang.

“Setakat ini kita belum beri nama anak kembar ungka tersebut tetapi sekarang ini kita mahu memastikan anak Ungka Tangan Putih ini sihat dan stabil terlebih dahulu.

“Namun pada bila-bila waktu ini, kita akan anjurkan pertandingan untuk memberi nama kepada anak kembar Ungka Tangan Putih ini nanti,” katanya pada lawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamad ke Zoo Melaka bagi meninjau persediaan pembukaan zoo.

UNGKA Tangan Putih betina sedang memegang anak kembarnya manakala Ungka Tangan Putih jantan sedang bermain-main berhampiran dengannya.

Menurut Shadan, perkembangan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa haiwan-haiwan di Zoo Melaka terabai sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Sebenarnya bukan sahaja Ungka Tangan Putih melahirkan anak di Zoo Melaka, banyak lagi haiwan-haiwan yang sekarang ini sedang bunting dan melahirkan anak.

“Ini bermakna Zoo Melaka berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Sementara itu, pakar primatologi dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Badrul Munir Md Zain berkata, kelahiran kembar Ungka Tangan Putih jarang berlaku di dunia.

Katanya, hanya kelahiran kembar daripada spesis Siamang banyak direkodkan seperti penerbitan saintifik sekitar 1990-an mengenai kelahiran Famili Hylobatiae di Zoo Zurich dan Zoo Berlin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1413
Kongsi :
Previous post Peluang Muhammad Sajjad bertaubat sentiasa terbuka – Idris
Next post Guru enggan divaksin sehingga jejas PdP mungkin ditukar – Radzi
Ubah saiz-+=