ZOO MELAKA BUKA TIRAI 2025 DENGAN SAMBUTAN HEBAT
AYER KEROH 5 Januari – Zoo Melaka kekal menjadi antara destinasi pilihan pada program Melaka Bila Larut Malam edisi pertama 2025 apabila merekodkan hampir 500 jualan tiket dalam tempoh tiga jam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, ia menunjukkan sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan pelancong pada pembuka tirai tahun 2025.
“Alhamdulillah sambutan sangat baik untuk pembuka tirai Melaka Bila Larut Malam bagi tahun 2025 walaupun bukan pada musim cuti sekolah.
“Ia menunjukkan inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ini sangat baik dalam menggalakkan kehadiran pelancong, selain meningkatkan ekonomi pemain industri pelancongan.
“Saya percaya selain harga tiket yang berbaloi iaitu hanya RM10, pengunjung juga ingin merasai suasana berada di zoo pada waktu malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, sepanjang tahun ini, pihaknya akan terus menambah baik infrastruktur di Zoo Melaka agar lebih menarik dan memberi keselesaan bukan sahaja kepada pengunjung bahkan haiwan.
Malah, ujar beliau, Zoo Melaka juga akan menambah haiwan-haiwan baharu seperti unta dan pelbagai jenis burung untuk dipamerkan kepada pengunjung memandangkan Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.