ZON EKONOMI ANJUNG SELATAN FOKUS 4 SEKTOR
SERI NEGERI 31 Disember – Pembangunan Zon Ekonomi Anjung Selatan yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan bakal memberi fokus kepada empat sektor utama.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, empat sektor itu adalah pelaburan, pelancongan, pertanian dan infrastruktur.
Menurut beliau, menerusi kewujudan Zon ekonomi baharu itu, kesemua tiga negeri akan mendapat manfaat dalam pembangunan yang dirancang, selain ia juga membuka peluang kepada guna sama tenaga kerja di kawasan-kawasan terlibat.
“Seperti contoh di Sungai Rambai yang terletak bersempadan dengan Muar, kita bercadang memberi fokus kepada sektor pertanian memandangkan kawasan itu telah diiktiraf oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan impaknya boleh diguna sama dengan kawasan utara Johor.
“Manakala di sebelah utara iaitu membabitkan Melaka dan Negeri Sembilan, sempadan kita ialah sungai, di mana Sungai Linggi dibahagi dua dan ditengah-tengahnya merupakan sempadan milik kedua-dua negeri. Jadi, kita berbincang dengan Negeri Sembilan supaya aktiviti pelancongan kedua-dua negeri diguna sama dan bukannya satu saingan perniagaan agar limpahan ekonominya dirasai kedua-dua negeri.
“Untuk dua lagi sektor lain, ia tertakluk kepada permintaan di mana-mana kawasan yang boleh memberi nilai tambah dalam sudut ekonomi antara tiga negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan lisan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) sama ada zon ekonomi berkenaan turut memasukkan kawasan Laman Tiga Budaya Asahan yang terletak bersempadanan antara tiga buah negeri, Ab Rauf berkata, ia sudah termasuk dalam kerangka yang dirancang bagi pembangunan tersebut.
“Laman Tiga Budaya ini akan dimasukkan dalam kluster pelancongan memandangkan ia merupakan titik pertemuan tiga negeri yang mempunyai kebersamaan dalam sektor pelancongan.
“Daripada sudut rentas negeri di kawasan ini sama ada bercadang mewujudkan lebuh raya baharu yang boleh merentas Pantai Timur, ia perlu dipersetujui ketiga-tiga negeri dan ia juga akan dimasukkan dalam Masterplan Zon Ekonomi Anjung Selatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.