ZON BEBAS KENDERAAN TERIMA DUA PENGIKTIRAFAN MBOR

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 September – Sebanyak dua pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) dianugerahkan kepada Negeri Melaka  selepas setahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dua rekod yang diterima itu adalah pengiktirafan sebagai Stesen Pertolongan Cemas Pertama di Zon Bebas Kenderaan dan Tempoh Terpanjang Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di negara ini.

Menurutnya, kejayaan diterima Melaka menunjukkan pelaksanaan dasar itu membawa pulangan terutama kepada alam sekitar dan sosio ekonomi yang diperolehi oleh rakyat.

“Berdasarkan kajian mereka, MBOR telah mengiktiraf dasar yang dikeluarkan Kerajaan Negeri kerana pelaksanaan ini memberi sumbangan kepada alam sekitar dan sektor ekonomi.

“Inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini diwujudkan dengan objektif yang jelas iaitu untuk mengurangkan pelepasan asap kenderaan untuk memelihara bangunan warisan di samping mempamerkan kepekaan Kerajaan Negeri terhadap kesesakan aliran trafik khususnya pada hujung minggu.

“Alhamdulillah, dalam tempoh 365 hari selepas pelaksanaan inisiatif ini kita menerima pelbagai maklum balas positif terutama kepada golongan peniaga, pelancong dan pengunjung kerana pelaksanaan ini telah memberikan pulangan baik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Vibrant Melaka :Creating A People Centric Living Spaces sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Program Santai@Banda Hilir dan Sambutan Setahun Zon Bebas Kenderaan diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, menerusi pelaksanaan itu Kerajaan Negeri akan memastikan penambah baikan dilaksanakan bagi meningkatkan tarikan pengunjung dan pelancong yang berkunjung supaya kawasan terbabit kekal menjadi pusat riadah keluarga pada hujung minggu.

“Setakat ini pada setiap hujung minggu kawasan ini telah dijadikan sebagai kawasan daya tarikan pelancong dengan pelbagai penganjuran program yang dianjurkan oleh MBMB dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka.

“Selain peniaga kecil, pelaksanaan ini juga telah menerima sokongan daripada pusat beli belah sekitar yang telah menganjakkan waktu operasi mereka.

“Kita akan terus memastikan kesemua gedung-gedung ini turut bersama-sama Kerajaan Negeri untuk memberi sokongan untuk memanjangkan tempoh operasi mereka terutama pada pelaksanaan Melaka Bila Larut Malam yang dianjurkan pada malam Sabtu minggu pertama setiap bulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post MENU RM10: PELUANG PENIAGA BUAT PROMOSI ‘KAW KAW’
Next post 1.7 JUTA PELANCONG SINGGAH KE ZON BEBAS KENDERAAN
Ubah saiz-+=