Sorting by

×

Zon Bebas Kenderaan hanya dari jam 6 petang hingga 1 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 12 Januari – Tempoh masa penutupan jalan bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir akan dipendekkan kepada 21 jam berbanding 54 jam sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan tempoh masa baharu itu akan bermula Jumaat depan sehingga hujung Februari 2024.

“Harinya masih sama iaitu setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, cuma tempoh penutupan jalan disingkatkan dari jam 6 petang hingga 1 pagi sahaja.

“Sebelum ini dalam tempoh percubaan kita laksanakan 24 jam termasuk waktu siang, tetapi selepas mengambil kira suara peniaga sekitar yang terjejas kita pendekkan waktu penutupan jalan ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri bagaimanapun sedang mengkaji semula kaedah terbaik bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Tempoh penyusunan semula ini bagi pertimbangan khas hingga hujung Februari, kita tak mahu ganggu urusan perniagaan di kawasan ini. Ini juga untuk membuat semula kajian baharu di kawasan-kawasan terjejas sebelum membuat keputusan yang baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11813
Kongsi :
Previous post Pameran artifak Hang Tuah Mei ini
Next post AKCC lapangan golf mesra alam
Ubah saiz-+=