ZON BEBAS KENDERAAN BAWA IMPAK POSITIF BUAT PENIAGA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 September – Dalam tempoh setahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan telah banyak membawa perubahan dan impak positif kepada peniaga serta pemain industri pelancongan di Banda Hilir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rata-rata peniaga dalam kawasan itu meluahkan mereka berpuas hati berikutan menerima peningkatan pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan mereka.

Menurutnya, ia berikutan penambahbaikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri seperti menaik taraf gerai-gerai lama yang berwajah baharu selain tarikan lain seperti pencahayaan dan penganjuran pelbagai program yang menarik kedatangan pengunjung ke kawasan terbabit.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri juga telah memartabatkan peranan peniaga apabila seramai 195 peniaga Uptown Pahlawan Walk diberi perhatian dengan melaksanakan penempatan semula operasi perniagaan mereka di Jalan Tun Khalil Yaakob.

“Saya yakin, dengan sokongan berterusan daripada semua pihak tentunya mampu menjadi penanda aras kepada kecemerlangan Melaka dalam memperhebat sektor pelancongan, sekali gus dijadikan model yang boleh dicontohi oleh bandar-bandar seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Majlis Perasmian Seminar Vibrant Melaka: Creating A People Centric Living Spaces sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Program Santai@Banda Hilir dan Sambutan Setahun Zon Bebas Kenderaan diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post 1.7 JUTA PELANCONG SINGGAH KE ZON BEBAS KENDERAAN
Next post 142 ANAK ASNAF CEMERLANG DIRAIKAN
Ubah saiz-+=