‘Ziyad tetap hero di hati kami’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 1 September – Luahan hati jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, 31, yang terlepas pingat emas kedua negara di sukan Paralimpik Tokyo mendapat pelbagai reaksi rakyat Malaysia.

Pelbagai kata-kata semangat dan dorongan dititipkan kepada beliau di sebalik kegagalan itu, malah mereka menegaskan Muhammad Ziyad adalah juara sebenar.

Terdahulu, atlet kelahiran Selangor itu membuat permohonan maaf terbuka pada rakyat Malaysia menerusi akaun Instagramnya hari ini selain berterima kasih atas sokongan padu diberikan kepadanya di sebalik berita sedih itu.

 

“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Hantaran tersebut menerima lebih 100,000 tanda suka dan hampir 12,000 komen daripada pengguna Instagram setakat jam 1.50 tengah hari tadi termasuk Menteri Kesihatan yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy menerusi ruangan komen berharap Muhammad Ziyad tidak patah semangat dan terus berusaha melakar kejayaan dalam sukan selepas ini.

“Tak perlu nak minta maaf, Yad. Keputusan yang tidak adil. Awak paling hebat dalam dunia. Awak luar biasa. Teruskan,” ujarnya.

Barisan rakan atlet termasuk legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta penerjun Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong turut memberi kata-kata motivasi kepada Muhammad Ziyad.

“Ziyad tak perlu minta maaf. Ziyad paling hebat di dunia. Semua sangat bangga dengan Ziyad,” kata Dhabitah Sabri.

Pandelela pula berkata: “Tak apa Ziyad, nanti tuhan pasti bagi lagi banyak rezeki kat u. 3 tahun lagi, kita fight back!.”

“Ziyad tetap ‘champion’ di hati kita!.” kata Mun Yee.

Chong Wei pula berkata: “It’s OK (tidak mengapa) Ziyad. Semua tahu yang rekod dunia baru engkau punya. Nanti di Paris cipta lagi rekod yang lagi baru! Tiga tahun lagi sahaja. You already our hero (awak adalah hero kami).”

Terdahulu media melaporkan pingat emas Muhammad Ziyad dalam acara lontar peluru F20 ‘dirompak’ oleh protes yang dilakukan oleh kem Ukraine pada pentas final di Tokyo.

Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Protes itu membolehkan Ukraine merangkul pingat emas dan perak masing-masing menerusi Maksym Koval dengan dengan catatan 17.34m dan Oleksandr Yarovyi 17.30m.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Bergaya dengan gaun Jalur Gemilang ke PPV
Next post Eksekutif rugi lebih RM100,000 terpedaya tawaran kerja sambilan
Ubah saiz-+=