Zii Jia konsisten selepas bergelar pemain profesional – Rashid
Legenda perseorangan badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata Zii Jia bermain dengan baik dan tidak jauh daripada prestasinya sebelum ini.
“Kalau perkembangan Lee Zii Jia, tengok di All England dia main agak bagus. Di Terbuka Jerman saya tidak berapa tengok (perlawanan), tapi nampak prestasinya konsisten. Dia kalah di separuh akhir (All England) tidak jauh beza (sebelum bertukar kepada status pemain profesional) dengan prestasi beliau sekarang ini,” katanya.
Beliau mengulas berhubung prestasi Zii Jia selepas selepas tewas di tangan pemain dari India, Lakshya Sen dalam aksi separuh akhir dan gagal ke final Kejohanan Terbuka Jerman selepas dikalahkan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berjiwa Juara, Memori 92 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.
Rashid berkata tahap prestasi Zii Jia mungkin disebabkan tekanan berbeza dilaluinya di luar dan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun pemain itu perlu berdikari serta berfikir lebih profesional bagi meningkatkan kerjayanya.
Mengulas berhubung prestasi Ng Tze Yong yang kandas di pusingan kedua perlawanan badminton Terbuka Switzerland, Rashid berkata pemain itu masih baharu namun prestasinya sedang meningkat.
“Walaupun dia kalah tetapi dia kalah dalam set penentu. Jadi, nampak dia punya peningkatan dan kita tidak boleh jangka dia terus menang. Sedikit demi sedikit dia belajar dari situ (kekalahan). Saya rasa itu lebih bagus untuk timba lagi pengalaman.
“Namun, saya tengok dia antara pemain pemain yang bagus untuk disandarkan nanti bagi mendapatkan mata untuk kejuaraan Piala Thomas ataupun acara berpasukan,” katanya.
Terdahulu, Fakulti Pendidikan UiTM Kampus Puncak Alam memeterai perjanjian kerjasama dengan Kelab Badminton RS kendalian Rashid bagi membangunkan satu Modul Asas Kejurulatihan Badminton yang akan digunakan sebagai sebahagian dari kursus pengajian penuntut fakulti bermula esok.
Mohd Sazili berkata objektif utama kerjasama itu adalah bagi melahirkan guru-guru terlatih dalam bidang kejurulatihan badminton, secara tidak langsung boleh diguna pakai ketika mengajar di sekolah, untuk melahirkan bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.