
ZIARAH KASIH KEMBARA KAK SOM PADA WRUR DUN LENDU DAN SUNGAI UDANG
PENGKALAN BATU 14 April – Menyantuni dan mendengar permasalahan komuniti setempat terus diberikan penekanan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu serta Sungai Udang.
Mengulas lanjut Kalsom berkata, beliau bersama jabatan dan agensi berkenaan akan turun padang untuk berjumpa penduduk sepanjang berlangsungnya WRUR di kedua-dua DUN berkenaan iaitu dari 18 hingga 31 Mei depan menerusi Program Ziarah Kasih Kembara Kak Som.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, antara lokasi yang akan diberi perhatian pihaknya adalah penduduk sekitar Kem Sungai Udang.
“Berdasarkan rekod, komuniti berkenaan ada ramai wanita dan kanak-kanak, golongan ini adalah keutamaan untuk kita dekati serta santuni.
“Sebenarnya ada banyak lagi lokasi kita sedang kenal pasti, supaya dapat merangka gerak kerja lebih menyeluruh, sekali gus mencapai objektif penganjuran WRUR,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Kalsom, pihaknya bersama jabatan dan agensi berkaitan turut merangka gerak kerja lebih teratur agar program dilaksanakan adalah seimbang di kedua-dua DUN.
“Cabaran kali ini WRUR berlangsung di dua DUN serentak, jadi agensi berkaitan sudah diminta menyusun program dan aktiviti dengan teliti agar apa yang dilaksanakan memberikan impak kepada rakyat.
“Kita akan santuni semua golongan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, agama atau kaum pada Program WRUR DUN Sungai Udang dan Lendu. Saya akan buat sehabis baik seperti di DUN Pengkalan Batu dan Kuala Linggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.