
ZIARAH KASIH DUN KESIDANG: ALLEX SAMPAIKAN BANTUAN AIDILFITRI
KESIDANG 17 Mac – Kunjungan peserta program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, mencetus keceriaan kepada lima penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga tergolongan dalam kumpulan asnaf.
Exco Pembangunan Usahawan ,koperasi dan hal ehwal pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, lima penerima terbabit adalah dalam kalangan ibu tunggal, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan miskin tegar.
Allex Seah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, program ziarah itu turut disertai Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor dan wakil JKM negeri.
“Selain bertanya khabar kami turut menyerahkan sedikit sumbangan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung gandum.
“Semoga sumbangan disampaikan dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan ini dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya selepas mengetuai Ziarah Kasih DUN Kesidang di Rumah Pangsa Kampung Padang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Allex berkata Ziarah Kasih DUN Kesidang adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM negeri selaras dengan Prinsip Ke-7 Gerakan Koperasi iaitu ‘mengambil berat terhadap masyarakat’.
“Menerusi program ini juga kita mahu menyuntik sifat kasih sayang dan semangat kepada masyarakat agar turut serta mengasihi golongan asnaf ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.