Ziarah Kasih dekati rakyat – Sulaiman
MASJID TANAH 10 Okt. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meluangkan masa menyelami permasalahan rakyat menerusi program Ziarah Kasih, hari ini.
Berkongsi aktiviti itu di Facebook rasminya, Sulaiman berkata Ziarah Kasih itu dianggap sebagai pelengkap program hujung minggunya untuk mendekati rakyat.
“Tak lengkap program hujung minggu An (Sulaiman) jika tak ada pengisian program Ziarah Kasih dalam usaha mendekati golongan masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Kunjungan pertama Ziarah Kasih, An melawat ke rumah Abdul Malek Othman, 60, dari Kampung Seri Tanjung yang menderita ulser usus, kanser hati, kencing manis dan penyakit jantung. Walaupun menghidap pelbagai penyakit, An nampak ‘semangat’ dalam dirinya untuk pulih.
“Ziarah kemudian diteruskan ke rumah Ramlah Saleh, 53, juga dari Kampung Seri Tanjung sebelum singgah ke rumah Rohani Yunus, 68, yang menderita komplikasi kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
“An turut memberikan sumbangan kepada abang Rohani, Saidludin, 74, yang lumpuh dan menetap di rumah sama,” tulisnya.
Sejurus itu Sulaiman mengunjungi rumah Konya Bujang, 85, yang sudah kabur penglihatan kerana pelbagai komplikasi penyakit dihadapinya.
“Terhibur An dengan telatah Puan Konya, sebelum pulang, An sempat menyerahkan kerusi roda untuk kegunaan Puan Badariah Haji Daud, 62, yang diwakili suaminya, Alias Abdullah, 67.
“An mendoakan semoga semua penerima diberikan kesembuhan dan kesejahteraan dalam program Ziarah Kasih hari ini. Insya-Allah,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.