Ziana Zain tak lupa asal usul, bangga lahir di Melaka
BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Penutup tahun 2023 merupakan detik bermakna buat legenda vokal tanah air, Ziana Zain apabila dapat membuat persembahan di hadapan peminat ‘berlantaikan’ negeri kelahiran sendiri.
Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah itu begitu berbangga apabila dijemput menjadi sebahagian artis kelahiran Melaka yang diundang menghiburkan orang ramai sempena Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.
Mesra dengan gelaran Kak Ji, beliau berkata, setiap datang ke Melaka, bumi bersejarah ini telah mengimbau kenangan zaman kecilnya dahulu.
Malah, beliau sama sekali akan pernah melupakan negeri kelahirannya itu, sehinggakan jika ada masa terluang akan pulang ke Melaka meskipun hanya satu malam.
“Saya amat berbangga menjadi anak Melaka kerana Melaka adalah negeri yang bersejarah yang kaya dengan pelbagai budaya.
“Setiap kali saya pergi mana-mana dan orang bertanya saya akan terus cakap saya anak Melaka dan lahir di Merlimau.
“Kita sebagai anak Melaka walau di mana berada atau di mana negeri kita dilahirkan kita mesti menunjukkan identiti asal usul dan tempat lahir kita sebab kita tahu Malaysia ini sangat kaya dengan sejarah khususnya Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain kepelbagaian budaya dan sejarah, Melaka disifatkan sebagai ‘syurga’ makanan dan sanggup datang ke negeri ini meskipun pada waktu yang singkat semata-mata untuk menikmati asam pedas dan ikan bakar.
“Selalunya saya balik Melaka sanggup datang satu malam sebab bukan apa semata-mata nak makan ikan bakar, asam pedas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.