Zarinah Anwar wanita pertama dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Tan Sri Zarinah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah wanita pertama Universiti Malaya (UM) yang berkuat kuasa 13 Dis lepas, untuk tempoh tiga tahun.

Universiti Malaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat menerusi surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 10 Dis lalu, selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan Universiti Malaya (Pengerusi).

Menurut kenyataan itu, Zarinah yang merupakan alumni Fakulti Undang-Undang UM, juga tokoh korporat terkenal dengan menggalas jawatan penting termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Petroliam Nasional Berhad sejak 17 Ogos 2015.

Selain itu beliau turut memegang jawatan Pengerusi Debt Ventures Berhad Malaysia, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pemegang Amanah Razak School of Government, Yayasan Hasanah dan Yayasan Jeffrey Cheah.

“Di pentas dunia, beliau ialah Felo Abdullah bin Abdulaziz di Oxford Centre for Islamic Studies United Kingdom, ahli Lembaga Penasihat Pihak Berkuasa Sekuriti dan Komoditi Emirates, Emiriah Arab Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Beliau juga merupakan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), ahli Majlis Penasihat Akademik Universiti Teknologi Petronas, serta turut berkhidmat sebagai ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan mengenai Wanita.

Di samping itu, Zarinah juga merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Timbalan Pengerusi Shell Malaysia.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata universiti itu mengalu-alukan pelantikan tersebut memandangkan Zarinah merupakan individu yang tidak asing dalam bidang korporat.

“Semoga dengan pelantikan Tan Sri Zarinah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya akan terus membawa Universiti Malaya sebagai universiti berbakti untuk negara, memberi impak pada dunia,” kata Mohd Hamdi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3780
Kongsi :
Previous post Banjir: PM akan pastikan semua pihak lancarkan urusan pemberian bantuan kepada mangsa
Next post UMNO harap kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP RM10,000
Ubah saiz-+=