Zamani anak jati Alor Gajah ajak peminat bercuti ke Melaka
BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), penyanyi Zamani mengambil peluang untuk menyeru peminat-peminatnya bercuti ke Melaka.
Zamani yang juga anak jati Simpang Ampat, Alor Gajah berkata, orang ramai pastinya tidak akan kecewa menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian pilihan memandangkan terdapat pelbagai tarikan menarik yang boleh dikunjungi.
“Saya mahu mengajak semua untuk datang ke Melaka kerana terdapat banyak tempat boleh dilawati dan berhibur di sini. Jadi, ayuh kita bersama-sama menjayakan TMM2024 di bumi Hang Tuah ini,” katanya.
Pelantun lagu Gerimis Mengundang itu ditemui Melaka Hari Ini selepas melakukan persembahan di hadapan lebih 30,000 pengunjung pada Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.
Ditanya mengenai azam tahun baharu 2024, Zamani menyuarakan hasrat untuk mengadakan konsert solo suatu hari nanti.
Katanya, walaupun telah banyak mengadakan konsert bersama kumpulan Slam, namun, jauh di lubuk hatinya tetap mengimpikan untuk membuat konsert solo di hadapan ribuan peminat.
“Namun, untuk mencapai impian itu mungkin tidak dalam masa terdekat kerana saya masih belum banyak mempunyai logo solo.
“Mungkin saya kena keluarkan album solo seterusnya terlebih dahulu dan jika ia direalisasikan, saya akan mendendangkan lagu-lagu solo terbaharu ini kepada peminat,” katanya yang akan mengadakan konsert bersama Slam pada Februari, Jun dan penghujung tahun 2024 nanti.
Mengulas mengenai keadaan kesihatan terkini, Zamani memaklumkan dirinya semakin sihat selepas menjalani pembedahan tulang belakang pada penghujung 2022 yang lalu.
“Alhamdulillah, saya semakin baik, namun sehingga kini saya masih mengikuti rawatan susulan kerana apabila melibatkan tulang belakang, ia mengambil tempoh masa yang lama untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.