Zakat fitrah di Kelantan kekal RM7

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KOTA BHARU, 28 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal RM7.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bagaimanapun berkata mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

“Kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan tahun 1443H/2022M pula sebanyak RM20,366 untuk haul Ramadan 1443H hingga Ramadan 1444H,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi MAIK e-Zakat Payment di www.e-maik.my.

“Pembayaran zakat boleh dibuat melalui institusi perbankan yang dilantik oleh MAIK sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.

“Selain itu, boleh juga menerusi Standard Chartered, Affin Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, OCBC Al-Amin, dan Agrobank,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata ketetapan kadar zakat fitrah dan nisab zakat harta itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini dan bersama-sama menghidupkan Ramadan tahun ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

792
Kongsi :
Previous post Lebih 1.3 juta populasi kanak-kanak di Malaysia terima vasin COVID-19
Next post DUN TABOH NANING: Pembaikan Jalan Lubuk Kepong dijangka siap sebelum Ramadan
Ubah saiz-+=