
Zainal kekal bimbing Melaka United
KRUBONG 4 Disember – Teka-teki mengenai status Ketua Jurulatih Melaka United terjawab apabila Zainal Abidin Hassan sekali lagi diberi kepercayaan mengemudi kelab berkenaan buat tiga musim berturut-turut.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media di Stadium Hang Jebat di sini, sebentar tadi.
Mohd Yusoff berkata, keputusan melantik semula Zainal Abidin dibuat selepas mendapat mendapat persetujuan barisan ahli lembaga pengarah yang mahu meneruskan khidmat jurulatih dari Pahang itu.
Katanya, meskipun pasukan itu agak ketinggalan dalam kedudukan tercorot Liga Super musim lalu, namun pihaknya yakin kredibiliti Zainal Abidin untuk membawa pasukan ke kedudukan yang lebih baik.

âWalaupun kita melihat beberapa keputusan atau kedudukan Melaka agak jauh ke belakang tetapi kita masih lagi percaya dengan kemampuan Zainal utk membawa Melaka dan meletakkan Melaka ke landasan lebih baik,â katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pelantikan semula dirinya untuk mengemudi Sang Kancil disifatkan sebagai peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan apatah lagi ia merupakan peluang ketiga .
âWalaupun dengan beberapa syarat (ditetapkan) dan beberapa perkara yang perlu dilalui, saya menyahut cabaran ini dan percaya ia boleh diperbaiki.
âDengan kepercayaan diberi, saya akan buat lebih baik dari sebelum ini dan pasukan Melaka United harus berkorban serta bekerjasama untuk kebaikan pada musim 2021,â katanya.
Ketika ditanya perancangan mengenai barisan pemain yang bakal diumumkan mewakili pasukan pada musim hadapan, dia mengakui berdepan cabaran dalam memilih barisan pemain mengikut bajet kewangan sedia ada.
Bagaimanapun ujarnya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan berikutan ada beberapa pemain yang terpaksa digugurkan dan ada juga yang dikekalkan.
âApa yang penting dalam bajet kali ini akan membentuk pasukan yang lebih baik dan InsyaAllah kita akan cuba memperbaiki dan melakukan beberapa perubahan,â katanya.