Sorting by

×

Zainal belum sedia undur diri

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KETUA Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan belum sedia mengibarkan ‘bendera putih’ meskipun terdapat desakan segelintir penyokong yang mahukan khidmatnya bersama skuad Hang Tuah ditamatkan.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan era 80-an dan 90-an itu masih mahu membuktikan sesuatu kepada MUFC selagi diberi kepercayaan pihak pengurusan untuk mengemudi pasukan.

“Bukan hanya saya, tetapi setiap pasukan lain pun jika keputusan tidak baik, tekanan atau desakan itu memang akan ditujukan kepada jurulatih.

“Tetapi bagi saya, selagi MUFC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya masih beri kepercayaan, saya akan terus jalankan tugas dengan baik, Insya-Allah,” katanya selepas menghadiri rakaman takbir raya bersama Melaka Hari Ini di sebuah hotel di sini.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan selepas tamat 11 aksi pusingan pertama Liga Super musim 2021, Zainal percaya aksi yang dipamerkan anak buahnya tidaklah begitu buruk seperti dicanang.

Namun, katanya, beberapa kesilapan berulang termasuklah hilang konsentrasi di atas padang membuatkan beberapa keputusan tidak memihak pasukan.

“Saya percaya kekuatan masih ada dan saya masih mempunyai kepercayaan kepada setiap pemain.

“Cuma satu sahaja saya minta iaitu mereka perlu memberi tumpuan penuh sehingga wisel penamat kerana kita dapat melihat tidak buruk mana pun pasukan Melaka bermain sebelum ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post Perzim akui kewujudan tapak Masjid Agong dalam Kota A Famosa
Next post Raya tetap raya!
Ubah saiz-+=