Zaidi dilantik Ahli Lembaga Pengarah UTeM baharu
UTeM, dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas SUK Melaka Datuk Kamel Mohamed yang telah tamat tempoh pelantikannya sebagai ahli Lembaga Pengarah pada Januari lepas.
“UTeM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Datuk Kamel Mohamed atas sumbangan dan jasa yang telah disumbangkan kepada universiti sepanjang tempoh pelantikan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Zaidi merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Diploma Pengurusan Awam (INTAN), Agensi Sektor Awam Malaysia.
Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1996 sebagai Penolong Setiausaha di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Badan Kawal Selia Air, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada tahun 2008 hingga 2019, beliau menjawat beberapa jawatan di Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Sembilan, sebelum dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri, Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka pada tahun 2020 seterusnya dilantik sebagai SUK Melaka pada Januari lepas. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.