
ZAHID HAMIDI BIDAS DAKWAAN KERAJAAN TIDAK PERTAHAN KESUCIAN ISLAM
TABOH NANING 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegur pihak tertentu yang menuduh kerajaan tidak tegas dalam mempertahankan kesucian agama Islam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan kekal berpendirian tegas dalam menangani isu berkaitan agama sejajar dengan Perlembagaan Negara yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.
“Kerajaan Madani berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan, malah parti-parti dalam kerajaan juga mendukung prinsip yang telah ditetapkan.
“Oleh itu, jangan ada yang tuding jari atau pihak mempertikaikan pendirian kerajaan dalam hal ini, terutamanya kenyataan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, jelas menunjukkan keharmonian agama di negara kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegur pihak tertentu yang cuba memanipulasi isu agama sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Tegas beliau, kerajaan menyedari wujudnya segelintir pihak, sama ada dalam kerajaan mahupun parti pembangkang yang sengaja memainkan isu agama untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Kerajaan tidak akan mengambil sikap lepas tangan terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam.
“Sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, amalan beragama yang telah lama dipraktikkan di Malaysia perlu terus dipertahankan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga penyampai radio swasta, Era FM sedang disiasat oleh polis susulan dakwaan mempersenda agama Hindu dalam sebuah video yang tular sejak Selasa lalu.
Susulan itu, pihak pengurusan stesen radio terbabit telah menggantung tugas tiga pengacara berkenaan sehingga siasatan selesai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.