Sorting by

×

Yuran pelajar Tingkatan 1 tangguh sehingga Mei 2021

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 29 Dis. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bakal menangguhkan pembayaran yuran persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 di negeri ini sehingga Mei 2021.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka Karim Tumin berkata, keputusan itu dibuat memandangkan pihaknya perlu mengambil kira keputusan kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) yang akan diumumkan pada Mac 2021.

Jelasnya, disebabkan keputusan kemasukan ke SBP sedikit lewat berbanding tahun-tahun sebelumnya, kesemua pelajar  Tingkatan 1 perlu memasuki sekolah aliran biasa terlebih dahulu.

Atas faktor demikian, katanya yuran persekolahan perlu ditangguhkan untuk mengurangkan beban ibu bapa seandainya anak mereka menerima tawaran ke SBP.

“Kita ambil langkah dengan meminta pihak sekolah agar tidak mengutip yuran pelajar tingkatan terlebih dahulu dan hanya membenarkan yuran dikutip pada Mei 2021.

“Kita ambil tindakan tersebut untuk mengurangkan beban ibu bapa seandainya anak-anak mereka ditawarkan ke SBP sekali gus mengelakkan mereka daripada perlu membayar yuran sebanyak dua kali.

“InsyaAllah keputusan ke SBP hanya akan diketahui pada Mac dan pada April, pelajar-pelajar yang layak akan mendaftar di SBP yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi tahun 2020 dibatalkan susulan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Akibat pembatalan itu, pemilihan pelajar ke SBP, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) terpaksa menggunakan kaedah lain, iaitu ujian khusus untuk menentukan pelajar yang layak.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 yang ditangguhkan pada Mac 2021, Karim optimis sekolah-sekolah menengah di negeri ini sudah bersedia dan berada di landasan yang betul untuk menerima semula kehadiran pelajar SPM 2020 bagi menghadapi sesi pembelajaran bersemuka pada 20 Januari depan.

Jelasnya, kemasukan itu sebagai persiapan terakhir sebelum pelajar-pelajar berkenaan menghadapi peperiksaan sebenar yang dijadual bermula pada 8 Mac 2021.

“InsyaAllah ruang yang ada daripada 20 Januari hingga Mac akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan pelajar-pelajar SPM 2020 memberikan tumpuan terakhir, sekali gus meningkatkan momentum mereka,” ujarnya.

Views:

1097
Kongsi :
Previous post Kartel daging: Syarikat guna logo halal palsu pada kenderaan didakwa esok
Next post Kilang kayu haram dalam kebun kelapa sawit diserbu
Ubah saiz-+=