Yong Tai – rakan kongsi baharu China bangunkan semula ‘Impression City’ di Melaka
KUALA LUMPUR 16 Sept – Yong Tai Bhd (YTB) mendapat sokongan rakan kongsi baharu dari China untuk meneruskan pembangunan Impression City di Melaka seluas 100 ekar yang tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Menurut laporan New Straits Times, YTB menandatangani perjanjian kerjasama dengan pelbagai pihak semalam, termasuk Opustique Infinity Ltd (OIL), Pusat Perdagangan Antarabangsa Cheng Ho dan Culture City Center Sdn Bhd (CHITC) dan Oriental Impression City Development Sdn Bhd (OICD) untuk memulakan semula pembangunan Impression City.
Ketua Pegawai Eksekutif YTB, Datuk Wira Boo Kuang Loon berkata, perjanjian itu tanda pemulihan bagi perniagaan pembangunan hartanah.
“Ini juga tanda bahawa pembangunan Impression City dimulakan semula selepas terkesan akibat pelaksanaan PKP.
“Dengan sokongan rakan kongsi baru kami di China, kami harap dapat mempercepatkan pembangunan utama kami di Melaka.
“Kami juga gembira kerana visi kami mengenai Impression City selari dengan rakan kongsi kami dari China yang mempunyai rancangan untuk membina menara perniagaan 88 tingkat yang terdiri daripada elemen perniagaan dan budaya China.
“Ini sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) untuk meningkatkan kerjasama antara Melaka dan China dari segi ekonomi, pelancongan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengikut perjanjian itu, CHITC dan OICD akan bekerjasama dengan pelabur baru dan perusahaan milik negara dari China untuk melabur dan mencari dana pelaburan yang diperlukan bagi membiayai pembangunan projek.
Ia akan membantu meningkatkan visi YTB mengubah Bandar Melaka menjadi hab pelancongan antarabangsa.
Katanya perbincangan awal dengan pelbagai rakan China menunjukkan bahawa minat mereka terhadap rancangan YTB untuk mengubah Bandar Melaka menjadi hab pelancongan antarabangsa sangat kuat.
“Ramai yang berminat dengan projek Impression City ini khususnya rakan dari Negara China, bahkan sebelum wabak ini melanda para pelabur dari China tertarik dengan konsep teater Encore Melaka kami yang banyak menumpukan pada budaya dan warisan orang Cina.
“Sudah tentu minat tersebut menurun kerana pandemik COVID-19 yang telah mengganggu industri pelancongan.
“Namun, dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur kami melihat minat dalam kalangan pelabur China kembali semula,” katanya.
OIL melantik CHITC dan OICD di bawah perjanjian itu telah mengenal pasti pembangunan Melaka dan Impression City k bersesuaian dengan rancangan awal OIL.
OIL telah menghasilkan idea dan konsep pendirian Menara EU-China 108 tingkat, yang merangkumi elemen perniagaan dan budaya China di tengah-tengah London.
Namun, karena perubahan pemerintahan dan Brexit di Eropah projek tersebut ditangguhkan dan OIL memutuskan untuk menerapkan gagasan tersebut di ASEAN sebagai ganti.
Boo berkata walaupun terdapat kelewatan dalam pembangunan projek Impression City di waktu pandemik ini, YTB tetap komited pada visinya untuk mengubah Melaka menjadi hab pelancongan dan hab hartanah dengan pembangunan Impression City.
“Rancangan syarikat untuk mengubah Melaka menjadi pusat pelancongan antara bangsa dan hartanah tetap utuh walaupun berlaku penangguhan akibat wabak COVID-19.
“Dengan pembukaan semula ekonomi dan aktiviti pelancongan secara beransur-ansur, kami yakin visi kami untuk Impression City akan terlaksana.
“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih baik dengan rakan kongsi kami dari China untuk membantu mempercepat pembangunan Impression City ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.