Sorting by

×

YESS medium lahir usahawan muda

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Oktober – Bukan bermatlamat untuk meraih keuntungan semata-mata sebaliknya objektif Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) adalah bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda menerusi pembabitan aktif bersama gerakan koperasi.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, Program YESS adalah inisiatif digerakkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terbukti sudah membuahkan hasil.

Katanya, bagi anggota Koperasi dalam kalangan pelajar ini, Program YESS mengalakkan mereka berfikir secara kreatif dan inovatif serta menyemaikan nilai-nilai murni koperasi dalam diri mereka.

“Selain tumpuan utama pelajar dalam bidang akademik, mereka (Anggota Koperasi Sekolah) telah menumpukan usaha, ketekunan dan mengorbankan masa untuk menyertai Program YESS ini.

“Demi minat, mereka bersama Guru Pembimbing telah mencipta produk-produk dan melaksanakan projek baharu semata-mata untuk pertandingan ini.

“Produk dan projek yang telah dibentangkan oleh sembilan kumpulan-kumpulan (Koperasi yang terlibat) tentunya mempunyai nilai komersil dan telah dijual tidak kurang dari enam bulan serta telah memberi pendapatan kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Penutup Program YESS Tahun 2023 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Melaka, Mohd Firdaus Shaari, Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Jamsari Mariman serta Pengurus TEKUN Negeri Melaka, Anuar Abu Zarin.

Hadir sama Pengarah SME Corp Malaysia Negeri Melaka, Noor Azzam Yaazizul Ghafar, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Selatan, Hafizal Abu Bakar, Pengerusi ANGKASA Melaka, Abdul Rahim Md Tawel, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Jalan Hang Tuah Abd Razak Mohd Atan dan Pengurus Coop Bank Pertama Cawangan Ayer Keroh Melaka, Mohd Shariman Mazlan.

Allex berharap, Program YESS dapat diteruskan pada masa-masa akan datang yang dilihat selari dengan prinsip berkoperasi iaitu pendidikan, latihan dan maklumat yang disumbangkan oleh setiap ahli demi kemajuan bersama.

“Saya yakin dengan inisiatif dan dasar diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui SKM seperti TRANSKOM 2025, Pelan Pendigitalan Koperasi dan terbaharu Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030) ini mampu memperkasa Gerakan Koperasi untuk menjadi bidang keberhasilan utama ekonomi Malaysia.

“Inisiatif ini juga berupaya menjana pendapatan tinggi kepada rakyat khususnya di Negeri Melaka ini. Marilah kita sama-sama menyampaikan naratif yang baik dan persepsi positif berkaitan gerakan koperasi ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat tentang amalan berkoperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post UTeM terima 2,530 pelajar baharu
Next post Enam taska, pusat jagaan gagal patuh syarat
Ubah saiz-+=