YB Zahari dekati anak muda, semai budaya permotoran positif
DURIAN TUNGGAL 29 Julai – Seramai 150 peserta yang majoritinya anak muda menyertai Konvoi Santai Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, semalam.
Acara yang bermula di Kompleks Japerun Durian Tunggal itu telah menjelajah sejauh lebih 50 kilometer ke DUN Kuala Linggi bagi menyemai budaya permotoran positif kepada golongan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Zahari Abd Kalil berkata, program itu julung kali diadakan pihaknya bagi mendekati golongan muda yang sangat sinonim dengan dunia permotoran.
Memandangkan belia merupakan aset masa hadapan negara, beliau bertanggungjawab mahu mencorak masa depan lebih baik kepada golongan berkenaan menerusi program santai yang membawa mesej positif.
“Sebelum ini, kita kurang mendekati anak muda, jadi tahun ini saya dapat satu idea untuk mengaturkan satu program konvoi memandangkan golongan ini memang meminati dunia permotoran.
“Jadi, saya bersama pasukan turut serta pada konvoi ini dalam merapatkan hubungan silaturahim, selain memupuk budaya positif kepada anak muda ini.
“Melihat kepada sambutan cukup baik pada edisi pertama ini, saya bercadang untuk menjadikannya acara tahunan untuk warga Durian Tunggal, khususnya golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Pertandingan Memancing Pra-Terbuka Melaka 2024, Pantai Sungai Tuang, Kuala Linggi, semalam.
Hadir sama, Adun Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.
Dalam pada itu, Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, selain mendidik budaya positif, konvoi santai itu juga diadakan untuk mempromosikan lokasi pelancongan menarik Negeri Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Seperti kali ini, kita menjelajah ke DUN Kuala Linggi dan singgah ke beberapa lokasi pelancongan seperti Pantai Sungai Tuang, Kolam Memancing Air Masin Teluk Belanga, dan Pantai Tanjung Dahan.
“Insya-Allah pada edisi akan datang, kita akan menjelajah ke DUN-DUN lain dalam Negeri Melaka untuk mempromosikan lokasi pelancongan menarik yang ada di negeri ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.