Sorting by

×

YB HELMY ‘BERJAGA’ PANTAU BANJIR, SALUR BANTUAN KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 7 Mac – Kawasan berisiko banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan dapat disalurkan terus kepada mangsa terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, selain agensi dan jabatan berkaitan, aspek kebajikan mangsa turut mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyumbangkan kit makanan.

Katanya, bantuan itu disampaikan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Pejabat Ketua Menteri Datuk Muhammad Ahyad Abdullah kepada 10 keluarga yang melibatkan 40 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong.

“Saya bersama agensi berkaitan juga mengenal pasti lokasi bermasalah bagi memastikan bantuan kepada mangsa dapat dihulurkan segera jika bencana banjir ini berulang.

“Cuma kes bencana banjir di Duyong kali ini adalah luar jangka, taburan hujan direkodkan empat kali ganda daripada kadar maksimum biasa, menyebabkan berlaku fenomena hujan lebat berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut memuji agensi dan Jabatan berkaitan kerana menyalurkan segala keperluan kepada mangsa dalam tempoh yang singkat.

“Kesemua agensi yang terlibat seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa lagi agensi telah jalankan tugas dengan baik bagi membantu mangsa.

“Mereka (agensi) jalankan tugas dengan efektif  dan turut melibatkan aset ambulans bagi melancarkan bantuan serta pemindahan mangsa yang mangalami komplikasi kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR MELAKA TERUS MENINGKAT
Next post MCORP, ANAK SYARIKAT TERUS MENGORAK LANGKAH