Sorting by

×

Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sumbang RM10,000 kepada Pesta Konvo UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 8 Dis – Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyumbang wang tunai sejumlah RM10,000.00 sempena Pesta Konvo Maya Tuah 2021 yang akan berlangsung secara dalam talian bermula esok hingga 12 Dis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan berkata, sumbangan itu tanda sokongan pihak yayasan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam membantu golongan pelajar B40 yang memerlukan.

Katanya, ia sekali gus memeriahkan Pesta Konvo Maya atau TUAH VCF 21 sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 UTeM selain menggalakkan agar semua pihak mengambil peluang untuk bermurah hati dalam menghulurkan bantuan kepada pelajar yang memerlukan.

“Kebaikan adalah seperti magnet yang menarik segala kebaikan lain di dalam kehidupan seharian,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan di pejabat HEP, UTeM di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEP UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan barisan pegawainya serta Timbalan-timbalan Dekan Fakulti dan pengetua serta felo kolej kediaman.

Sementara itu, Dr Sabri berkata, sumbangan seumpama ini merupakan kerjasama kali pertama pihak yayasan bersama universiti berkenaan malah sumbangan itu diharapkan dapat meringankan bebanan para pelajar.

“Sumbangan itu akan diagihkan kepada mereka yang amat memerlukan pertolongan bagi atasi kesempitan hidup.”

“Jadilah sebaik-baik insan dengan memberi manfaat kepada orang lain yang salah satunya melalui amal kebajikan dan sedekah sebegini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1307
Kongsi :
Previous post Azizul Annuar tidak mahu tumpang nama besar bapa ‘Tok Nan’
Next post Remaja maut terbabit kemalangan dengan lori ayam
Ubah saiz-+=