Yayasan Angkasawan Negara sasar 300 pelajar B40 jadi doktor perubatan
BUKIT BARU 29 November – Yayasan Angkasawan Negara (YAN) menyasarkan seramai 300 pelajar B40 untuk menyertai program ‘1 Keluarga 1 Profesional’ sebagai usaha untuk melahirkan pelapis dalam pelbagai bidang melibatkan perubatan.
Presiden YAN, Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor berkata, usaha itu akan melibatkan kerjasama dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM).
Katanya, program itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pelajar dalam kalangan asnaf dan kurang berkemampuan, namun layak dari segi akademik untuk menjadi doktor pakar pada masa akan datang.
“Kita akan masuk ke perkampungan Orang Asli, selain mana-mana kawasan pedalaman menerusi data-data daripada Kerajaan Negeri dari seluruh negara, selain bekerjasama dengan Pusat Zakat untuk mencari anak-anak asnaf yang layak untuk diberi tajaan menjadi pelajar perubatan.
“Kita sasarkan dalam 300 pelajar ini juga akan ditaja pengajian mereka selama lima tahun di MUCM oleh MARA.
“Hal ini kerana, untuk menjadi doktor perubatan setiap tahun ada kuota yang perlu diikut, kerana yuran seorang pelajar perubatan kosnya sangat tinggi, jadi kita di YAN akan mencari pelajar yang benar-benar layak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Promosi Program 1 Keluarga 1 Profesional di MUCM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Samsuri dan Naib Canselor MUCM, Prof. Dr Patrick Kee Peng Kong.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden YAN, Datuk Shahrul Nizam Yunos berkata program yang ditawarkan itu membantu para pelajar bukan sahaja dari yuran pengajian tetapi turut menaja kos sara hidup.
“Program gabungan ini memberi keistimewaan kepada golongan bumiputera yang berada dalam golongan B40 untuk mencapai hasrat 1 keluarga 1 profesional khusus dalam bidang perubatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.