Yakult terus perkasa kesedaran kesihatan usus

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KLEBANG 26 Julai – Yakult (M) Sdn Bhd akan terus aktif menyebarkan maklumat, sekali gus meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya mengutamakan penjagaan kesihatan usus.

Pengarah Urusannya, Hiroki Yanase berkata, perkara itu perlu terus diuar-uarkan berikutan masih ramai rakyat negara ini kurang prihatin mengenai kepentingan kesihatan usus dalam membantu mengekalkan kesejahteraan harian.

Jelasnya, penyebaran maklumat mengenai kebaikan bakteria berfaedah yang terkandung dalam minuman keluaran syarikat itu, dilaksanakan secara aktif menerusi pelbagai penganjuran program tanggungjawab sosial.

“Kami akan terus bergiat aktif mendidik rakyat Malaysia menerusi kerjasama dengan badan profesional dan kementerian terlibat bagi menjayakan usaha murni ini termasuk penganjuran ‘Misi Sihat Yakult’ diperluaskan di sekolah dan peringkat komuniti.

“Setakat ini masih ramai yang kurang memahami kepentingan penjagaan usus dan kita sedang berusaha untuk mengubahnya menerusi pendekatan kepada komuniti, sekolah serta platform dalam talian.

“Yakult yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai minuman probiotik bermanfaat juga berjaya menggerakkan sekumpulan wanita sebagai ikon kesihatan usus dari rumah ke rumah bagi memastikan rakyat terus peka dengan kesedaran kesihatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri program ‘Usus Kita, Wira Kita?’ diadakan di Oriental Melaka Straits Medical Centre.

Hadir sama, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Jabatan Sains Yakult (M) Sdn Bhd, Lim Siew Ling; Pengarah Kejururawatan Oriental Melaka Straits Medical Centre, Zabedah Tahrim serta tetamu lain.

Terdahulu, menerusi program itu pelbagai aktiviti menarik diatur bermula jam 7 pagi membabitkan pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan daripada pakar perubatan, pameran, jualan dan zumba.

Beberapa siri ceramah kesihatan telah dikendalikan oleh pengamal perubatan am dan diet iaitu Dr. Fazlisham Ghazali dan Nor Syamimi Mohd Shahizi dari Oriental Melaka Straits Medical Centre serta pakar pemakanan dari JomSayHeart Diet Centre, Syaza Lyana.

Sementara itu Siew Lin berkata, program ‘Misi Sihat Yakult’ telah memasuki tahun ketiga penganjurannya selepas diperkenalkan pada 2022.

Jelasnya, program tahunan itu merupakan antara langkah diambil syarikat berkenaan bagi mendekatkan hubungan antara komuniti bagi memperkasa kesedaran berhubung kesihatan.

“Program “Misi Sihat Yakult 3.0′ akan terus digerakkan bersama Kementerian Pendidikan ke sekolah-sekolah supaya pelajar diberi didikan tentang penghadaman, penggunaan bakteria berfaedah untuk kesihatan usus selain aktiviti lain yang ditekankan seperti bersenam dan sebagainya.

“Selain peringkat sekolah, kita juga akan menganjurkan program komuniti setiap tahun seperti yang diadakan pada kali ini dengan menjemput pakar kesihatan untuk memberi kesedaran dan taklimat kesihatan terutama berkaitan kebaikan bakteria berfaedah, probiotik,” katanya.

Untuk makluman lanjut mengenai aktiviti Yakult, layari laman sesawang Yakult di www.yakult.com.my

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post JDI lulus pelan pemajuan projek dalam 29 hari
Next post BlazeTech STEM platform serlah potensi pelajar dalam teknologi
Ubah saiz-+=