YADIM desak SKMM bertindak tegas isu video usahawan promosi LGBT

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 April – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas terhadap isu video raya seorang usahawan yang didakwa mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, SKMM perlu bertindak tegas dalam isu tersebut memandangkan kandungan video itu jelas mempromosi budaya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang kini memasuki fasa 10 malam terakhir.

Menurutnya, selain mahu video tersebut ditarik balik atau mengharamkan penyiarannya, YADIM mahu pihak yang mengedar video itu turut diambil tindakan memgikut Akta SKMM.

“Kita mahu bukan setakat video tersebut ditarik balik atau diharamkan penyiarannya, pihak yang terlibat dengan pembikinan dan juga menyebarkannya, turut diambil tindakan.

“Ada batas yang telah ditetapkan, pada YADIM, ini satu tindakan biadap, lebih-lebih lagi dibuat pada malam-malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni dan menyumbang keperluan Hari Raya keluarga ibu tunggal Umi Nur Faizah Ali Halimi yang kisahnya menjual kotak demi menyara kehidupan empat anaknya.

TUAN Kamarul (kiri) menyantuni dan menyumbang keperluan Hari Raya keluarga ibu tunggal Umi Nur Faizah Ali Halimi yang kisahnya menjual kotak demi menyara kehidupan empat anaknya.

Selain itu menurut Tuan Kamarul, masyarakat sudah muak dengan sikap sesetengah pihak yang sering memohon kemaafan selepas melakukan kesalahan seperti itu namun insiden sama tetap berulang.

“Kita dapati pihak berkaitan khususnya menteri agama sudah mengambil tindakan dengan merujuk isu itu dengan pihak Jakim dan pada YADIM, itu satu tindakan permulaan.

“Kalau perlu YADIM buat laporan kepada SKMM mengenai isu ini, tiada masalah kita akan laporkan kerana ini bukan sahaja berkaitan isu agama tetapi ia membabitkan sentimen majoriti rakyat pelbagai kaum di negara ini,” kata beliau.

Ujarnya, YADIM tidak mahu isu video tersebut dianggap satu bentuk hiburan biasa dan masyarakat menormalisasikan perkara itu.

“Ini serangan pemikiran yang perlu ditangani dengan kaedah penerangan, penguatkuasaan undang-undang dan proses advokasi yang berterusan,” katanya.

Bagi tujuan itu kata beliau, pihaknya akan mengerakkan kira-kira 10,000 anggotanya sebagai ejen dakwah dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah bagi menangani isu seumpamanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post Jenazah Ali Hamsa selamat dikebumi
Next post Hanya 200 polis Melaka dibenarkan cuti
Ubah saiz-+=