Wujudkan ‘Academy in School’ bantu pelajar lepasan SPM – Exco
BANDARAYA MELAKA 27 September – Kerajaan Negeri meminta agar peruntukan mewujudkan Program ‘Academy in School’ bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dimasukkan dalam pengumuman Belanjawan 2024.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, peruntukan itu diperlukan bagi memberi peluang kepada pelajar berkenaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya pernah dimaklumkan dahulu kira-kira 300,000 lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran ke universiti, jadi kita cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif mewujudkan akademi ini.
“Selepas ini universiti awam, swasta atau mana-mana pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh masuk ke sekolah lebih awal bermula tingkatan empat.
“Jadi pelajar sekolah akan tahu lebih awal tentang jurusan yang mereka minat, selepas SPM mereka sudah tahu hala tuju untuk melanjutkan pelajaran di mana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Keselamatan Siber Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri di sebuah hotel di sini.
Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi kerjasama mewujudkan program itu.
“Insya-Allah Melaka akan mulakan program ini, kita dah ada perbincangan awal antara jabatan terlibat, harap usaha ini dapat mengatasi masalah pelajar lepasan SPM yang tidak menyambung pelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut meminta agar diberikan tambahan peruntukan Program Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi mengatasi masalah jurang capaian internet luar bandar.
Katanya, insentif juga diperlukan bagi pereka inovasi dan teknologi selain peruntukan membaik pulih dan bina rumah baharu untuk masyarakat Orang Asli dan luar bandar.
“Selain meluluskan peruntukan infrastruktur untuk Generasi Kedua Felcra Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, Asahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.