Wujud jawatankuasa pantau penyampaian Islam

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) perlu mewujudkan jawatankuasa bagi memantau penyampaian Islam yang diberikan kepada saudara Muslim baharu di negeri ini.

Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka Kamaruddin Sidek berkata, ia rentetan terdapat sesetengah individu yang baharu memeluk Islam kurang berminat dengan program agama yang dijalankan.

Kamaruddin Sidek

“Setelah kita buat kajian, mungkin penyampaian ustaz-ustaz semasa program atau kursus itu tidak menarik dan jelas, kita tidak ada satu jawatankuasa yang memantau penyampaian itu.

“Saya minta wujudkan satu jawatankuasa untuk pantau cara penyampaian, idea ini kita sudah sampaikan kepada pihak Balai Islam dan ia perlu dibawa dalam mesyuarat bersama MAIM,” katanya kepada MHI di Seri Negeri, baru-baru ini.

Jelasnya, faktor tempat tinggal juga menjadi punca saudara baharu memeluk Islam ini tidak dapat hadir pada program-program keagamaan yang diadakan.

SEBAHAGIAN saudara muslim baharu yang hadir pada Kursus Kefahaman Asas Islam Saudara Muslim Negeri Melaka tahun 2020, baru-baru ini.

“Kedua mereka tak datang sebab tinggal jauh, jadi saya minta pihak Balai Islam wujudkan program di kawasan berdekatan seperti di setiap daerah yang dekat dengan rumah mereka.

“Saya lihat sudah banyak pihak Balai Islam laksanakan inisiatif cuma kehadiran tidak dapat seratus peratus,” katanya.

Baru-baru ini Kamarudin mewakili Ketua Menteri merasmikan Kursus Kefahaman Asas Islam Saudara Muslim Negeri Melaka tahun 2020.

Pada kursus itu, seramai 30 saudara muslim baharu hadir bagi mendengar pendedahan yang diberikan mengenai agama Islam.

Untuk rekod, bermula Mac sehingga Julai seramai 30 mualaf memeluk agama Islam, pada tahun 2019 seramai 183 mualaf direkodkan memeluk agama islam.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Agong berkenan lawat Zoo Negara
Next post Premis kerajaan dan swasta perlu kibar Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=