Sorting by

×

WTD, WTC 2025: MELAKA PERKENAL PRODUK PELANCONGAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Beberapa produk pelancongan baharu bakal memeriahkan sektor pelancongan negeri Melaka bersempena negeri ini bagi menggamit kehadiran pelancong domestik dan luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berkata inisiatif dan produk baharu itu dibawa sebagai persediaan menyambut Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Forum Pelancongan Sedunia (WTC) pada September 2025 serta Tahun Melawat Melaka yang dilanjutkan sehingga 2026.

Menurut Ketua Menteri, antara produk baharu yang diperkenalkan adalah Taman Tema Snow World serta Skyview Hot Air Balloon yang diselia oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Selain itu, bagi terus mengangkat martabat kebudayaan dan kesenian Malaysia, Kerajaan Negeri juga bakal menganjurkan Festival Budaya Nusantara pada tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Kumpulan Boria Anum Sari serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka atas kejayaan cemerlang menjuarai Kategori Terbuka di Boria International Class Conference dan Competition (BORICCC) 2025.

“Kejayaan ini adalah bukti kejayaan kolektif dalam memperkenalkan seni, warisan dan budaya Melaka ke persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut berkongsi kejayaan membanggakan Bazar Aidilfitri Ikonik Banda Hilir yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa apabila merekodkan lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh hanya 15 hari beroperasi.

“Alhamdulillah, dua bazar Aidilfitri Melaka dinobatkan antara 10 bazar terbaik di Malaysia oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Bazar tersebut ialah Bazar Glam Klebang dan Bazar Ikonik Aidilfitri Banda Hilir.

“Saya turut berpeluang mengunjungi sebahagian Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Melaka. Rata-rata bazar ini dipenuhi dengan pengunjung sekali gus membuktikan kuasa beli rakyat semakin baik.

“Syabas diucapkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan urus setia bazar-bazar ini. Saya berharap bazar-bazar ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post LEBIH 2,000 PENJAWAT AWAM MELAKA DIRAI PADA MAJLIS IHYA RAMADAN