Sorting by

×

WTD 2025 PELUANG TERBAIK PERKENAL PRODUK USAHAWAN MELAKA KEPADA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Oktober – Penganjuran World Tourism Day 2025 (WTD 2025) yang menyaksikan Melaka dipilih sebagai tuan rumah mewakili Malaysia tahun depan, menjadi peluang terbaik untuk usahawan Melaka memperkenalkan produk mereka kepada dunia.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, acara pelancongan dunia itu perlu dimanfaatkan para usahawan di negeri ini memandangkan ia bakal membawakan lebih 150 buah negara berkampung di Melaka.

Justeru beliau menyeru usahawan khususnya dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bersedia lebih awal dalam mempersiapkan produk masing-masing supaya ia dapat diperkenalkan dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

“WTD 2025 ini adalah satu peluang terbaik untuk seluruh dunia mengenali kepelbagaian produk dari Melaka.

“Jadi saya meminta usahawan-usahawan PMKS di negeri ini mengambil peluang ini untuk mempromosikan produk mereka di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Festival Melaka 2024 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah SME Corp Negeri Melaka Noor Azzam Yaazizul Ghafar.

Menurut Allex, dalam tempoh beberapa bulan sebelum tibanya WTD 2025 nanti, para usahawan di Melaka disaran mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan untuk mengembangkan lagi produk masing-masing

Ia termasuklah memanfaatkan kemudahan pinjaman, jaminan pembiayaan dan pembinaan keupayaan secara langsung dan tidak langsung dengan peruntukan sebanyak RM45.6 bilion yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025.

“Justeru, saya menyeru kepada semua PMKS di Melaka sentiasa merebut segala peluang yang ditawarkan bagi mengembangkan lagi potensi perniagaan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa PMKS di negeri ini berkembang maju dan berdaya saing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

201
Kongsi :
Previous post YOGYAKARTA JADI INSPIRASI MELAKA BINA KOMPLEKS WARISAN JAWA
Next post KEUNIKAN ASAHAN BIKIN UKM ‘JATUH HATI’
Ubah saiz-+=