
WRUR: ZIARAH KAK SOM PUSING PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 17 Februari – Program Cakna Komuniti Ziarah Kasih Kak Som Bersama Agensi dan NGO’s bersempena penganjuran Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu 2025 mencapai objektif untuk menyantuni lebih 250 keluarga serentak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, program turut disertai Exco Kerajaan Negeri, lebih 60 wakil agensi dan jabatan, institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan (NGO).
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, antara yang hadir menjayakan program adalah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Halyjah Muhamad.
“Kembara menelusuri 10 kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Pengkalan Batu, objektif program adalah menyantuni keluarga kurang berkemampuan, golongan miskin, warga emas, serta orang kurang upaya (OKU).
“Program ini menjadi medium untuk memupuk semangat ‘kebajikan tanggungjawab bersama’ dalam kalangan komuniti,” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan Program Cakna Komuniti Ziarah Kasih Kak Som Bersama Agensi dan NGO’s Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Pengkalan Batu 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata program tersebut turut memberi peluang dan ruang untuk NGO menyantuni mereka yang memerlukan.
“NGO yang menyertai program ini bertaraf global dan bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan juga setimpal.
“Pemimpin masyarakat yang turut serta dapat merasai dan mendengar rintihan denyut nadi rakyat seterusnya bantuan dihulurkan seikhlas hati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.