
WRUR TONJOL KEBERADAAN WAKIL RAKYAT
PENGKALAN BATU 23 Februari – Pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) selama dua minggu berupaya memperkasakan lagi keberadaan wakil rakyat di dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di samping memperkasakan keberadaan wakil rakyat, menerusi program itu juga rakyat mempunyai ruang untuk memberi pandangan dalam penambahbaikan pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, WRUR adalah satu program yang merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dan mendengar denyut nadi serta pemasalahan yang ada pada rakyat dalam setiap kawasan yang dilawati.
“Sebelum berlangsungnya setiap WRUR, kita menunggu maklum balas daripada setiap kawasan setempat misalnya jika berkaitan portfolio Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Exco terlibat akan melihat kemudahan awam yang boleh ditambah baik begitu juga dengan portfolio Exco lain.
“Di samping itu pelbagai program melalui agensi dan jabatan kerajaan disediakan bagi rakyat memberi buah fikiran ataupun memberikan pandangan dalam menyelesaikan masalah.
“Malah WRUR juga adalah untuk memperkasakan keberadaan wakil rakyat dalam kawasan yang mereka wakili,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menziarahi pesakit terlantar dan menampal pelekat Kampung Digital di Kampung Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, program WRUR DUN Pengkalan Batu yang bermula 10 Februari lalu telah berjaya memberikan satu lagi nilai tambah dalam kaedah pengurusan pentadbiran rakyat.
“Pastinya penganjuran WRUR ini akan bertambah baik pada setiap edisi penganjurannya. Begitu juga di Pengkalan Batu yang lebih baik daripada edisi terdahulu dan saya percaya ia juga semakin baik pada edisi seterusnya.
“Kerangkanya (setiap pelaksanaan WRUR) akan diberi nilai tambah kepada setiap portfolio yang menerima maklum balas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.