WRUR, PROGRAM TURUN PADANG SELESAI MASALAH RAKYAT
AYER KEROH 4 Januari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi medan untuk pemimpin bersama jabatan serta agensi turun padang bagi menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat di kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Program yang bermula di DUN Kuala Linggi, hari ini, akan berlangsung selama dua minggu dengan pelbagai aktiviti serta program yang dirangka khusus untuk menyantuni masyarakat di kawasan berkenaan.
Selepas itu, ia akan menjelajah ke kesemua DUN dalam Negeri Melaka mengikut giliran enam kawasan Parlimen.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, menerusi program tersebut ia secara tidak langsung dapat menyampaikan segala dasar kerajaan terus ke akar umbi dengan lebih berkesan.
“Ketua Menteri tidak mahu rakyat terlepas apa jua peluang dan inisiatif yang sediakan, seperti contoh program MBIO Sihat iaitu saringan pengesanan kanser secara percuma yang mungkin ada di antara rakyat terlepas pandang.
“Jadi, menerusi WRUR, kita akan perkenal dan promosikan pelbagai inisiatif yang telah disediakan dan pada masa sama kita akan bersama-sama mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan isu setempat,” katanya.
Menurut Fairul Nizam, WRUR bukanlah sebuah program yang berat, sebaliknya ia mengambil pendekatan santai supaya rakyat dapat mendekati pemimpin dan berkongsi segala masalah, pandangan mahupun penambahbaikan yang boleh dilakukan.
Jelas beliau, jadual WRUR telah disusun di kesemua 28 DUN dan dijadual berlangsung sehingga 2026, di mana ia akan melibatkan kesemua Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, selain pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.