![Img 20250213 221156 021](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250213_221156_021-1.jpg?v=1739456256)
WRUR PENGKALAN BATU SUBURKAN MALAM NISFU SYAABAN
PENGKALAN BATU 13 Februari – Lebih 500 umat Islam hadir menyuburkan Majlis Sambutan Malam Nisfu Syaaban Peringkat Negeri Melaka 1446H/2025M di Masjid Nur As-Sa’adah, di sini, malam ini.
Ia merupakan sebahagian pengisian kerohanian yang diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd. Rahman.
Yang turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta lain-lain kenamaan.
Majlis itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Penasihat Am Jabatan Mufti Mesir Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan Yasin serta doa selamat, dipimpin Abdul Halim.
Jemaah yang hadir kemudiannya mendengar tazkirah bertajuk ‘Nisfu Syaaban: Keharuman Yang Dicari’ yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Muhammad Sayyid.
Umat Islam yang hadir kemudiannya menunaikan solat isyak berjemaah dan majlis diakhiri dengan jamuan ringan di perkarangan masjid.
WRUR Pengkalan Batu bakal berlangsung selama dua minggu bermula 10 Februari lalu dan berakhir 23 Februari ini.
Hampir 100 program telah dirangka Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat, bahkan turut mencari jalan penyelesaian terhadap segala isu dan dilema yang membelenggu masyarakat di DUN Pengkalan Batu.
WRUR telah bermula di DUN Kuala Linggi bulan lalu dan bakal menjelajah ke kesemua 28 DUN dalam Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.