Sorting by

×

WRUR PENGKALAN BATU REALISASI 167 PROGRAM, SANTUNI 364 ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:3 Minit, 20 Saat

PENGKALAN BATU 23 Februari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang berlangsung dua minggu berakhir hari ini, berjaya mengecap pelbagai pencapaian khusus untuk rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejak bermula pada 10 Februari, program sentuhan rakyat itu telah berjaya merealisasikan sebanyak 167 program di samping menyantuni 364 aduan yang diterima.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 47 isu telah diselesaikan dalam tempoh dua minggu, manakala selebihnya masih dalam tindakan.

Ketua Menteri turut berkongsi antara pencapaian aduan yang telah berjaya diselesaikan mencakupi 13 kategori isu.

Jelas beliau, pencapaian pertama adalah berkaitan masalah perparitan dan jalan dalam DUN Pengkalan Batu seperti menaik taraf sistem perparitan di Kampung Pulau Kelapa, Peringgit dengan kos sebanyak RM1.7 juta bagi mengurangkan masalah banjir, selain Kerja Naiktaraf Sistem Saliran bagi Mengatasi Banjir Kilat di Kawasan Bandaraya Melaka Bersejarah Fasa 2 bagi (Pakej 2a) dengan nilai peruntukan sebanyak RM10.3 juta oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Tumpuan utama dalam program WRUR ini pastinya berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di mana sepanjang dua minggu program WRUR DUN Pengkalan Batu ini, pelbagai bantuan kebajikan telah diberikan seperti Bantuan Mesra Lampin dan Susu Pesakit Terlantar bagi DUN Pengkalan Batu dengan peruntukan sebanyak RM140,000 sekali gus memberi manfaat kepada 132 penerima.

“Bantuan Kebajikan DUN Pengkalan Batu juga diperuntukkan sebanyak RM5.3 juta melibatkan seramai 992 penerima bagi tahun 2025 dan program Ziarah Kasih yang melibatkan 250 buah rumah secara tidak langsung mendekati pesakit terlantar dengan kerjasama agensi Kerajaan, NGO dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu, di perkarangan Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ab Rauf isu berkaitan penyelenggaraan infrastruktur sukan juga turut diselesaikan seperti menyelenggara gelanggang futsal Japerun Pengkalan Batu dengan kos RM50,000.

Pada masa sama, WRUR DUN Pengkalan Batu juga memfokuskan kepada penyelesaian isuisu berkaitan fasiliti pendidikan dan alhamdulillah ia berjaya merealisasikan perancangan bagi Pembinaan SRA JAIM Bachang Darat yang menelan kos sebanyak RM 6.5 juta, di mana selepas 38 tahun pembinaannya, akhirnya sekolah ini dinaik taraf semula.

“Program WRUR bukanlah semata-mata mengenalpasti aduan berbentuk projek dan infra, malah dipanjangkan jua aduan berbentuk permasalahan sosial.

“Antaranya isu warga asing tanpa permit yang telah diberi pantauan berkala melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia; isu penyalahgunaan dadah serta isu berkaitan kesedaran membanteras scammers dan penipuan secara talian turut diberi penekanan serius di dalam program ini,” ujarnya.

Tambah beliau, aduan berhubung sektor kesihatan turut menjadi keutamaan sepanjang WRUR DUN Pengkalan Batu, misalnya pembinaan Blok Tambahan (MCH) Klinik Kesihatan Peringgit dengan kos projek berjumlah RM26.5 juta; Naik Taraf Klinik Desa Bukit Piatu dengan peruntukan sebanyak RM650,000 dan pemeriksaan kesihatan percuma melalui Program Kembara Wow sempena Sambutan Hari Kanser Peringkat Negeri Melaka.

Selain itu, melalui WRUR juga, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri telah menyediakan skim bantuan baik pulih rumah kepada rakyat negeri Melaka.

“Antaranya, kos baik pulih rumah melibatkan 11 penerima dari Lembaga Perumahan Melaka, MBMB dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM220,000 serta naik taraf bumbung serta kerja-kerja berkaitan di Pangsapuri Sri Siantan Blok C dan Blok E di bawah peruntukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berjumlah RM660,000.

“Dalam pada itu, terdapat jua beberapa kerja baikpulih melibatkan beberapa fasiliti dan kemudahan rakyat di DUN Pengkalan Batu; antaranya Kerja-Kerja Baik pulih Balai Bacaan di Taman Widuri berjumlah RM50,000 melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri.

“Selain itu, ia turut merangkumi kerja-kerja baik pulih dan membaiki semula Balai Raya Taman Bachang Baru dan Balai Raya Bachang Darat berjumlah RM100,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

134
Kongsi :
Previous post MPAG KREATIF RANGKA PERSEKITARAN MESRA KOMUNITI
Next post ‘TERIMA KASIH TAK LUPA JASA TUN ABDUL GHAFAR BABA’