
WRUR PELUANG DALAMI MASALAH RAKYAT
PENGKALAN BATU 14 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, akan singgah ke 250 rumah untuk menyantuni rakyat sepanjang 14 hari program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berlangsung.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, lawatan itu turut disertai pegawai daripada Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Setakat ini saya bersama wakil jabatan dan agensi berkenaan sudah melawat ke 30 rumah, insya-Allah kita akan lengkapkan ziarah ke semua kediaman mengikut jadual sudah disusun.
“Kita pilih pendekatan seperti ini, bagi mengelakkan daripada ada yang keciciran sesuai dengan matlamat dan objektif WRUR dilaksanakan iaitu menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan perasmian Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di sebuah pasar raya di Bachang, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, turun padang menyantuni penduduk di Kampung Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Pada lawatan itu Kalsom dan Rahmad turut menyampaikan sumbangan tunai dan kit makanan kepada semua penerima berkenaan.
Katanya, penganjuran WRUR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, setakat ini mendapat maklum balas yang amat positif daripada rakyat.
“Saya berpuas hati dengan semua maklum balas diterima, orang ramai menyatakan mereka menerima memperoleh manfaat hasil daripada penganjuran WRUR,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.