Sorting by

×

WRUR: MBMB, MPHTJ SEDIA SELESAI MASALAH RAKYAT DI PENGKALAN BATU

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Februari – Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbesar di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sedia memainkan peranan penting dalam membawa kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kedua-dua PBT terlibat telah bersedia untuk menyelesaikan segala aduan dan permasalahan rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Pengkalan Batu yang berlangsung selama dua minggu.

Bukan itu sahaja, malah beliau berkata, MBMB dan MPHTJ turut menyelitkan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu rakyat yang memerlukan.

“Sebagai contoh, MPHTJ telah memberikan sumbangan kepada pelajar menerusi program ‘Back To School’ baru-baru ini, manakala MBMB pula terlibat dalam program gunting rambut percuma.

“DUN Pengkalan Batu cukup bertuah kerana terletak di bawah pentadbiran dua PBT terbesar Melaka dan kedua-duanya bersedia untuk membantu dan menyelesaikan segala permasalahan membabitkan rakyat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Dalam pada itu, Rais turut memuji kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin yang disifatkan sebagai seorang wirawati yang tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat.

Justeru, beliau menyeru rakyat di DUN Pengkalan Batu untuk memberi sokongan padu dan pada masa sama memanfaatkan program-program yang telah dirangka sepanjang dua minggu berlangsungnya WRUR.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post SUKAN DUA JIWA SATU HATI RAPATKAN JURANG, TINGGALKAN KENANGAN MANIS
Next post SASAR PESERTA SELURUH MELAKA – PANGLIMA 3 DIVISYEN