Sorting by

×

WRUR: ‘KAK SOM’ PUAS DAPAT SANTUNI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PENGKALAN BATU 23 Februari – Walaupun tidak cukup rehat sepanjang dua minggu berlangsungnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Pengkalan Batu, namun ia memberi kepuasan tidak terhingga bagi Datuk Kalsom Noordin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu yang mesra dipanggil Kak Som itu berkata, kepuasan itu dirasainya kerana dapat menyantuni rakyat segenap lapisan umur, selain turut menerima maklum balas positif daripada program berkenaan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri turut berterima kasih kepada Ketua Menteri, barisan Exco Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi serta orang kuat Japerun Pengkalan Batu yang bertungkus-lumus dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat di kawasan itu.

“Alhamdulillah kita berjaya menyelesaikan sebanyak 47 masalah rakyat menerusi aktiviti turun padang di bawah program WRUR ini.

“Kita semua sedia maklum hidup rakyat kini dipenuhi pelbagai cabaran. Ada yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi, kesulitan mencari pekerjaan dan memerlukan bantuan untuk memperbaiki kehidupan.

“Justeru, program WRUR ini amat penting kerana ia bukan sekadar acara semata-mata, tetapi usaha nyata untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu dalam ucapannya Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri ini turut berasa sebak kerana hasratnya untuk membantu rakyat tercapai.

“WRUR boleh dianggap manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Pelbagai insentif, bantuan, peluang ekonomi, advokasi, pendidikan, kesihatan, kebajikan mahupun aktiviti perpaduan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh WRUR berlangsung.

“Tanpa kerjasama semua pihak program ini tidak dapat berjalan dengan lancar seperti dirancang. Saya amat menghargai segala usaha, dedikasi dan komitmen yang telah ditunjukkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

97
Kongsi :
Previous post WRUR: INISIATIF KAMPUNG DIGITAL MELAKA DIPERHEBATKAN
Next post WRUR TONJOL KEBERADAAN WAKIL RAKYAT