![Img 20250215 212536 486](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250215_212536_486.jpg?v=1739626165)
WRUR: ‘DCM MHI’ BANTU BAKAL PENCIPTA KANDUNGAN MELANGKAH JAUH
PENGKALAN BATU 16 Februari – Kursus Digital Creator Masterclass (DCM) anjuran Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd memberi peluang kepada peserta untuk meneroka kemahiran dengan lebih meluas dalam mempersiapkan diri menjadi pencipta kandungan.
Meskipun berlangsung setengah hari, namun pengisian dan perkongsian ilmu dalam pelbagai bidang yang disampaikan cukup bermanfaat kepada peserta.
Antara kemahiran yang dikongsikan pada kursus tersebut adalah ilmu asas fotografi, reka bentuk grafik, kemahiran berkomunikasi depan kamera dan pembikinan video.
Salah seorang peserta Norlia Hamali, 43, berkata, kursus yang diikutinya itu amat bermanfaat untuk dia melangkah lebih jauh dalam mempromosikan produk jualan secara atas talian.
Katanya, meskipun sudah lama menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk jualan namun dengan perkongsian semasa mengikuti Kursus Digital Creator Masterclass banyak ilmu baharu yang diperolehinya.
![Img 20250215 212814 695](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250215_212814_695-1024x682.jpg)
“Amat banyak input yang saya dapat daripada kursus ini mungkin selama ini saya fikir sesuatu aplikasi itu terbatas fungsinya tetapi apabila diberi penerangan oleh tenaga pengajar barulah saya sedar akan kepelbagaian yang ada.
“Saya amat minat dalam bidang fotografi tetapi minat itu agak terbatas kerana kurangnya kepakaran dan kefahaman, namun menerusi kursus ini dapatlah saya ilmu baharu yang amat bermanfaat.
“Boleh katakan kursus ini amat membantu untuk mereka yang mahukan kemahiran baharu atau mendalami dengan lebih mendalam tentang pemasaran digital mahupun membuat video,” katanya.
Guru Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM) itu ditemui pada Kursus Digital Creator Masterclass Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
![Img 20250215 212557 710](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250215_212557_710-1024x682.jpg)
Seorang lagi peserta kursus, Low Hwee Ling, 47, berkata, berkesempatan mengikuti kursus Digital Creator Masterclass adalah peluang keemasan kerana selain perkongsian terperinci, penyampaian yang jelas daripada tenaga pengajar membuatkan ia mudah difahami.
“Sebelum ini saya pernah mengikuti beberapa kursus sebegini tetapi hari ini agak lain dan lebih ‘chill’ malah yang penting mudah difahami.
“Boleh saya katakan tenaga pengajar amat berpengalaman malah apa yang disampaikan adalah berdasarkan pengalaman bekerja mereka,” katanya.
Terdahulu, hadir meluangkan masa bersama kira-kira 30 peserta kursus adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.